Selasa, 18 September 2012

Kriteria Negara Islam Menurut Ahlussunnah Wal Jama’ah

Bismillah
Sebuah negara, walaupun bermasyarakat plural (majemuk) dan mempunyai perbedaan agama dan budaya, namun apabila mayoritas rakyatnya beragama Islam, dipimpin oleh penguasa yang beragama Islam, keselamatan, kekuatan dan pertahanan masih dikuasai oleh pemimpin Islam, pemimpinnya masih mendirikan solat, laungan suara azan masih terus berkumandang dan penguasa masih menguasai urusan kaum Muslimin, maka ia dinamakan negara Islam. Petanda negara Islam yang dijelaskan oleh Imam Nawawi dan Imam Ahmad yang disebut di atas, dalilnya diambil dari beberapa buah hadis sahih, antaranya sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:
“Akan ada selepas peninggalanku nanti pemimpin yang kamu mengenalinya dan mengingkari kejahatannya, maka sesiapa yang mengingkari kejahatannya (bermakna) dia telah berlepas diri dan sesiapa yang membenci kejahatannya dia telah selamat, akan tetapi orang yang meredhai kejahatannya akan mengikuti kejahatannya. Apakah tidak kita perangi mereka dengan pedang (wahai Rasulullah!) ? Baginda menjawab: Jangan! Selagi mereka masih mendirikan solat di kalangan kamu”. (Hadis Riwayat Muslim 6/23)

Dengan penjelasan hadis ini, menurut perspektif ulama Salaf as-Soleh dan Ahli Hadis, suatu negara dinamakan negara Islam apabila tanda besar iaitu azan dikumandangkan dan solat ditegakkan. (Al-Manhaj as-Salafi inda Nasruddin al-Albani. Hlm. 215. Amru Abdul Mun’im Salim) Tanda seterusnya ialah larangan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam memeranginya dengan pedang (haram menjatuhkannya) .
Dalam konteks ini, Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam menyeru agar bersabar terhadap pemimpin dan penguasa selagi mereka bersolat, kerana ia adalah makna keIslaman yang pertama sekalipun tidak berhukum dengan hukum Islam, kerana petanda dan bukti utama seseorang itu pemimpin Islam adalah solatnya sebagaimana sabda baginda:
“Dari Abi Umamah al-Bahili, dari Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam baginda bersabda: Ikatan-ikatan Islam akan terlepas satu demi satu. Apabila lepas satu ikatan akan dikuti oleh ikatan berikutnya. Ikatan Islam yang pertama kali lepas adalah hukum dan yang terakhir adalah solat”. (Hadis Riwayat Ahmad. 5/251)
Hadis ini membuktikan bahawa tidak boleh dihukum kafir setiap individu atau pemimpin jika masih mendirikan solat. Dan sesebuah negara dinamakan negara Islam jika masih terdengar suara azan, solat masih didirikan dan dikuatkan lagi jika mayoritas rakyatnya beragama Islam kerana hadis di atas menjelaskan: “Dan (tanda) terakhir adalah solat”.
Al-Ismaili rahimahullah berkata:
“Kaum Salaf berpendirian, bahawa sesebuah negara dinamakan negara Islam selagi masih ada panggilan untuk solat (azan) dan didirikan solat dengan terang-terangan serta penduduknya (rakyatnya) sentiasa mendirikan solat dengan bebas (aman)”. (Iktiqad Aimmatu Ahlu Hadis, hlm. 50)
Penamaan negara atau negeri Islam bukan hanya menerusi perundangan, hudud atau peraturan jenayah (kriminal). Malah meliputi bidang-bidang dan aspek yang luas. Khalifah Umar bin Khaththab Radhiyallahu ‘anhu berkata:
“Wahai rakyatku! Kamu mempunyai hak ke atas kami untuk menasihati pada perkara-perkara yang kami tidak ketahui, dan hendaklah kamu saling membantu (tolong-menolong dan bekerjasama) dalam kebaikan”. (Az-Zuhud 2/602)
Tiga perkara yang ditekankan oleh Khalifah Umar untuk membangun ummah dan daulah Islamiyah, iaitu:
1 – Merialisasikan hak individu terhadap pemerintah.
2 – Untuk saling menasihati pada perkara-perkara yang tidak diketahui.
3 – Saling membantu dalam kebaikan.
Perkara kedua yang disebut oleh Khalifah Umar dalam kata-katanya di atas: “Untuk saling menasihati pada perkara-perkara yang tidak diketahui”. Ini merupakan suatu konsep untuk mendekatkan pemimpin dengan rakyat secara bermuzakarah, bermusyawarah dan berlapang dada. Ia menjadi gagasan membuka minda dalam usaha merialisasikan sebuah negara Islam. Iaitu negara Islam yang membangun bersama rakyat untuk mencapai kemakmuran dan keharmonian.
Oleh kerana inilah kita sering mendengar ungkapan yang berbunyi:
“Bahawa agama dan penguasa adalah seumpama dua sisi mata yang tidak boleh terpisah. Apabila diangkat salah satunya, maka akan terangkatlah yang lainnya, kerana agama itu bagaikan asas bangunan, sedangkan penguasa seperti penjaga asas tersebut. Sesuatu yang tidak ada asasnya akan hancur dan sesuatu yang tidak ada penjaganya akan lenyap dengan cepat”. (Ruhul Ma’ani 1/174. Cetakan Al-Muniriyah. Al-Bahrul Mihit. 2/269. Abi Hayyan)
Termasuk tanda negara Islam ialah apabila pemimpin dan ulama sentiasa bekerjasama dan sentiasa saling hormat menghormati, kerana inilah asas kesejahteraan agama, keutuhan politik (siyasah), keselamatan, perpaduan dan keharmonisan rakyat, inilah juga penyebab pemimpin dan ulama dihormati. Sahl bin Abdullah at-Tusturi rahimahullah berkata:
“Manusia sentiasa dalam kebaikan jika masih menghormati pemerintah dan ulama. Jika mereka menghormati dua komponen umat Islam ini, maka Allah akan memperbaiki urusan dunia dan akhirat mereka. Seandainya mereka meremehkan dua komponen ini, akan rusaklah kepentingan dunia dan akhirat mereka”. (Dikutip dari khutbah Syeikh Utsaimin. Lihat: Huquq Ra’ii war-Ra’iyyah)
Dianggap negara Islam jika pemerintah (umara) yang sedia ada masih bekerjasama dengan ulama kerana tindakan sedemikian bersesuaian dengan tugas dan kehendak para nabi, para rasul, para sahabat dan para ulama pewaris nabi. Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wa-sallam telah menjelaskan peranan para ulama bersama umara (pemimpin) dalam mengurus sesebuah negara yang pada mulanya adalah tugas para nabi:
“Adalah Bani Israil dipimpin oleh para Nabi mereka. Setiap kali seorang Nabi wafat digantikan oleh Nabi berikutnya. Dan sesungguhnya tidak ada nabi lagi sesudahku, tetapi akan ada para pemimpin (yang beragama Islam), mereka banyak (jumlahnya). Para sahabat bertanya: Apa yang engkau perintahkan kepada kami (apabila itu terjadi)? Nabi bersabda: Patuhilah pemilihan (pemimpin yang beragama Islam) yang pertama, berikanlah oleh kamu hak mereka kepada mereka, kerana Allah akan menanyakan kepada mereka apa yang menjadi tanggungjawab mereka”. (H/R Bukhari 5/401. Muslim 3/1471. Ibn Majah 2/958. Ahmad 2/297)
Ibnu Jarir rahimahullah berkata:
“Perkataan yang paling utama dan benar di dalam hal ini (negara Islam) adalah perkataan yang mengatakan bahawa Ulil Amri adalah para pemimpin dan penguasa (beragama Islam). Hadis-hadis dari Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa-sallam dalam perintahnya untuk taat kepada para pemimpin dan penguasa (Islam) statusnya adalah sah belaka. Dalam ketaatan kepada mereka adalah kemaslahatan bagi kaum muslimin”. (Tafsir Athabari, 5/150)
Kejahatan, penindasan atau kezaliman yang dilakukan oleh pemimpin tidak akan menghilangkan status negara yang dipimpinnya sebagai negara Islam jika ia masih bersolat, seperti dosa besar dari perzinahan yang dilakukan oleh seorang individu tidak akan menjadikan ia seorang kafir selagi dia solat, mengaku sebagai seorang muslim dan masih mengucap dua kalimah syahadah. Karena Rasulullah telah bersabda:
“Aku diperintahkan untuk memerangi manusia sehingga mereka mengucapkan: Tiada Tuhan yang berhak diibadahi selain Allah. Apabila mereka telah mengucapkan yang demikian, maka darah dan harta mereka terlindung kecuali dengan haknya, sedangkan perhitungannya kembali kepada Allah”.
Di hadis yang lain baginda bersabda:
“Barangsiapa mengucapkan bahawa tiada Tuhan yang berhak diibadahi selain Allah, maka darahnya haram ditumpahkan”.
Kenyataan dari hadis-hadis di atas membuktikan bahawa tanda keIslaman seorang individu termasuk penguasa atau pemimpin tidak boleh diukur pada kezaliman, kejahatan atau pelanggarannya terhadap batasan hukum-ahkam syara, tetapi solat dan pengucapan kalimah syahadahnya. Maka mereka adalah ahli kiblah dan penguasa (pemimpin Islam) yang tidak boleh dikafirkan. Malah wajib ditaati dan dipelihara kehormatan serta maruahnya
Kenyataan ini telah dijelaskan juga oleh Amirul Mukminin Ali bin Abi Talib radiallahu ‘anhu:
“Tidak akan mampu memperbaiki keadaan manusia kecuali penguasa, sama ada penguasa yang baik atau yang jahat. Orang-orang bertanya kepadanya: Wahai Amirul Mukminin! Jika penguasa itu baik, ini wajar ditaati, tetapi bagaimana dengan penguasa yang jahat? Ali berkata: Sesungguhnya Allah menjaga keamanan suatu daerah melalui perantara penguasa walaupun ia jahat…….” (Diriwayatkan oleh al-Baihaqi dengan sanad yang sahih sampai kepada Ali bin Abi Talib. Lihat: asy-Syu’ab)
Menurut Muhammad Abu Zahrah:
“Darul Islam (negeri atau negara Islam), setiap negara yang diperintah dan dikuasai oleh Islam (umat Islam), yaitu kekuatan dan pertahanan negara berada di bawah kekuasaan umat Islam. Inilah bentuk negara yang wajib dipertahankan oleh setiap umat Islam”. (Abu Zahrah hlm. 377)
Dari Iyas bin Muawiyah, beliau telah berkata tentang pemimpin Islam dan sikap pemimpin Islam terhadap rakyat, begitu juga tentang sikap rakyat terhadap pemimpin mereka:
“Manusia sewajarnya memiliki tiga perkara, Pertama: Mereka sewajarnya mempunyai jalan raya untuk pengangkutan yang aman (selamat). Kedua: Mereka sewajarnya mempunyai pemimpin yang adil supaya dapat menegakkan pelaksanaan hukum. Ketiga: Mereka sewajarnya mempunyai pertahanan yang kuat untuk membenteng diri dari musuh. Apabila ketiga-tiga perkara ini telah ditegakkan oleh pemimpin (penguasa), maka rakyat (sewajarnya ada sikap tanggungjawab) memikul selain tiga perkara tersebut, kemudian menahan kesabaran atas sikap monopoli pemimpin (penguasa) dalam ekonomi dan sikap yang tidak terpuji”. (HR Baihaqi)
Antara petanda sesebuah negara itu dinamakan negara Islam ialah pemimpinnya Islam dan majoriti rakyatnya juga beragama Islam. Antara ciri-ciri pemimpin Islam yang wajib ditaati ialah pengakuannya serta pengucapan dua kalimah syahadahnya. Dan tanda yang paling besar ialah solatnya dan laungan azan masih berkumandang di negara tersebut sebagaimana dinyatakan oleh hadis-hadis sahih. Oleh itu, apabila seorang muslim dipilih dan dilantik dengan kesepakatan ummah (mayoritas rakyat) sebagai pemimpin maka ia adalah pemimpin bagi sebuah negara Islam, ia wajib ditaati. Berkata al-Imam al-Hasan bin Ali al-Barbahari rahimahullah tentang negara dan pemimpin Islam:
“Barangsiapa memegang kepimpinan atas kesepakatan dan keridhaan kaum Muslimin, maka dia adalah pemimpin Mukmin. Tidak halal bagi seorang pun hidup walaupun satu malam sementara dia tidak mempunyai seorang pemimpin yang baik atau yang jahat. Beginilah yang diserukan oleh Imam Ahmad”. (as-Sunnah. Al-Barbahari)
Syara telah mengharamkan menentang dan memberontak terhadap pemimpin negara Islam yang beragama Islam, atau orang kafir yang telah dilantik oleh pemerintah Islam yang mewakili pemerintah Islam. Islam mengajar sabar terhadap pemerintah dan pemimpin yang tidak disukainya walaupun ia melakukan kezaliman selagi beragama Islam, mengucap dan mendirikan Sholat, atau terhadap pemimpin bukan Islam yang di bawah naungan pemerintah Islam, maka mereka wajib dipatuhi. Dalam hal ini Syeikh al-Utsaimin berkata:
“Ketahuilah bahawa orang yang membangkang terhadap pemerintah yang sah, pada hakikatnya telah menjadi hamba musuh-musuh Islam. Pemberontakan atau semangat meluap-meluap bukanlah suatu pelajaran yang bijak, tetapi yang harus kita ambil menjadi pelajaran adalah hikmah (mengikuti sunnah). (Huquq Ra’i war-Ra’iyah. Kumpulan Khutbah al-Utsaimin)
WUJUDKAH PEMIMPIN, RAKYAT & NEGARA YANG MAKSUM?
Sememangnya di setiap negara Islam, tidak akan lahir lagi walau seorang nabi atau rasul untuk menyatukan, memimpin dan memerintah umat secara siyasah syariyah (berhukum dengan hukum syarii) secara utuh sebagaimana yang telah dilakukan oleh Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam, tetapi pengganti dan pewarisnya untuk melanjutkan seluruh tugas tersebut ialah para penguasa atau pemimpin Islam yang dipilih oleh rakyat secara sah yang ditunjangi oleh para ulama yang ikhlas.
Namun, setiap negara Islam akan teruji dengan adanya gerakan yang menggolongkan diri mereka kumpulan ulama, mereka menjamin kononnya kalau mereka memerintah, mereka akan melaksanakan undang-undang Islam atau hudud. Persepsi mereka hanya dengan melaksanakan hudud sahaja telah sempurna tuntutan sebuah negara Islam. Mereka lupa atau jahil bahawa hudud hanya sebahagian dari tuntutan hukum-ahkam Islam yang syumul, global dan luas.
Mereka menyangka pasti akan hapus segala kezaliman, maksiat dan kejahatan, termasuklah perbuatan yang dianggap dosa-dosa besar seperti riba, suap, arak, pencurian, perzinahan (termasuk perkosaan) dan sebagainya apabila undang-undang hudud dilaksanakan. Inilah penipuan kalau bukan angan-angan kaum Khawarij yang sombong dan takbur.
Sebenarnya di sebalik berbagai-bagai janji golongan Khawarij (yang ramai ulama su’ berkumpul di dalamnya) kepada rakyat terdapat matlamat ingin menumbangkan pemerintah, mereka mencemburui negara Islam yang telah wujud yang tidak selaras dengan fikiran sebagaimana yang mereka kehendaki. Mereka menuduh negara yang tidak berhukum dengan undang-undang Islam adalah kafir sama ada pemimpin atau rakyat yang bersamanya. Mereka menyempitkan pensyaratan negara Islam terbatas pada hukum (hudud) semata.
Tidak akan wujud pemimpin dan kepimpinan yang maksum (terpelihara dari membuat dosa) atau rakyat yang maksum. Tetapi persepsi orang jahil membayangkan bahawa hanya dianggap sebagai negara Islam setelah benar-benar tidak berlaku kejahatan dan maksiat seperti perzinahan, riba, pencurian, suap dan sebagainya, sama ada dilakukan oleh pemimpin atau rakyat jelata. Mereka menyebarkan propaganda bahwa itu semua akan hapus setelah dilaksanakan undang-undang Islam (hudud). Tidakkah mereka tahu bahawa sangkaan mereka itu tidak tepat, kerana di zaman Nabi Muhammad (Nabi yang maksum) walaupun hudud telah berkuat-kuasa namun perzinahan masih ada sehingga terlaksana hukum cambuk, pencurian masih terjadi sehingga berlaku hukum potong tangan, minum arak masih berlaku sehingga dilaksanakan hukum cambuk dan sebagainya.
Negara khayalan kaum Khawarij dan orang jahil merupakan sebuah negara malaikat, ia tidak akan wujud kerana manusia tidak akan berubah menjadi malaikat.
Kejahatan boleh berlaku di mana-mana dan kapan saja, maka para ulama sebagai pewaris nabi diwajibkan bekerjasama dengan para pemimpin atau penguasa untuk mentasfiyah dan mentarbiyah ummah Islamiyah supaya dapat memahami akidah, hukum-ahkam ibadah dan siyasah Islamiyah.
Amat tidak praktis jika terjadi di negara yang dipimpin oleh penguasa (pemimpin Islam) wujud ulama yang berwenang menyeru rakyat menentang penguasa dan pemimpin lantaran dosa-dosa yang dilakukan oleh pemimpin dan rakyat, kerana penentangan terhadap pemerintah amat bertentangan dengan sunnah.
Ulama dan umara perlu berdedikasi membentuk akidah sebagai asas pembangunan rohani, pembetulan ibadah, jiwa dan sikap rakyat terhadap pemimpin atau penguasa, terutamanya generasi muda yang terpelajar agar mereka tidak salah dlm menganut fahaman siyasah yg salah yang telah menimpa kebanyakan generasi muda pada masa ini. Melalui pendidikan akidah, ibadah dan disiplin ilmu disemua bidang, pastinya mereka mampu menghadapi apapun cabaran masa depan yang akan dihadapi oleh pemimpin dan negara. Ibnu Qutaibah meriwayatkan dari Ka’ab al-Akhbar, dia berkata:
“Islam, penguasa (pemimpin) dan rakyat laksana tenda, tiang dan tali tenda dan kayu pancang tenda (tonggak tenda). Islam diibaratkan tenda, pemimpin diumpamakan sebagai tiangnya, sedangkan rakyat seperti tali dan tonggak tenda, sebahagiannya tidak akan berdaya tegak kecuali dengan bantuan yang lainnya”. (Uyun al-Akhbar. Dengan sanad dari Ka’ab al-Akbar)
Membiarkan arah siyasah ummah Islamiyah tanpa bimbingan, tidak berwawasan yang dinamik, tidak terjaga tanpa ada hala-tuju dan panduan manhaj (metodologi) , pasti akan mengakibatkan konsekuensi pola hidup bersiyasah umat yang amat bertentangan dengan al-Quran dan as-Sunnah. Mereka yang terus tidak terjaga tanpa konsepsi yang jelas akan kecundang, mudah menyimpang dan mudah menyemai permusuhan, dan perpecahan sesama rakyat. Adanya keadaan seperti ini akan membuka peluang kepada musuh-musuh Islam memusnahkan nikmat kemakmuran duniawi, keamanan, keharmonian, kemaslahatan umum dan akidah mereka. Oleh itu, penguasa dan ulama sewajarnya bertindak sebagaimana yang dinasihatkan oleh Imam al-Qarafi rahimahullah:
“Ada kaedah yang mengatakan bahawa memelihara kemaslahatan umum adalah wajib, hal ini tidak akan terwujud kecuali adanya penghormatan rakyat kepada penguasanya. Bilamana terjadi penentangan serta penghinaan terhadap mereka, maka akan terhalanglah pintu kemaslahatan umat”. (Az-Zakhirah 13/234. Cetakan Darul al-Islami)
TUGAS ULAMA DAN HUBUNGANNYA TERHADAP PEMERINTAH
Para ulama amat berpengaruh di kalangan rakyat, oleh itu tugas besar ulama yang wajib dipikul oleh mereka ialah menyadarkan ummah (rakyat) agar mentaati penguasa atau pemimpin Islam. Ulama wajib menolong pemerintah menyatukan ummah agar tidak membenci, memusuhi dan tidak keluar dari jamaah (pemerintah dan pemimpin Islam). Inilah antara amal bir (kebaikan) dan takwa yang dituntut oleh al-Quran agar di lakukan oleh para ulama. Allah Azza wa-Jalla berfirman:
“Bertolong-tolonglah kamu atas kebaikan dan takwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan atas perkara dosa dan permusuhan”. Al-Maidah, 5:2.
Berkata Ibnu Abi Hatim rahimahullah:
“Ayahku telah menceritakan kepadaku, Amr bin Ali as-Sairafi telah menceritakan bahawa Abdu Rabbuh bin Bariq al-Hanafi telah menceritakan bahawa Simak bin al-Walid al-Hanafi berjumpa Ibnu Abbas di Madinah, beliau berkata kepadanya: Bagaimana menghadapi sikap penguasa yang telah menzalimi kita, mencela kita dan merampas sadaqah kita, bukankah kita harus mencegah mereka? Ibnu Abbas menjawab: Jangan! Biarkanlah mereka wahai Hanafi! Lalu beliau menambah: Wahai Hanafi! Al-Jamaah, al-Jamaah (peliharalah persatuan di bawah pemimpin) sebab hancurnya umat dahulu kerana perpecahan, apakah kamu tidak mendengar firman Allah: Dan berpeganglah kamu semua kepada tali (agama) Allah dan janganlah kamu bercerai-berai” . (Tafsir Ibnu Hatim 2/455. Ad-Darrul Mansur 2/285-286.)
“Dan janganlah kamu menyerupai orang-orang yang bercerai-berai dan berselisih sesudah datang keterangan yang jelas kepada mereka”. (Ali Imran, 3:105)
Kisah di atas ini adalah contoh tauladan kepada umat Islam, bahawa para ulama Salaf as-Soleh dahulu kala mendidik rakyat jelata agar memelihara hak-hak pemimpin. Dengan ini adalah wajib bekerjasama dan tolong-menolong antara para ulama dengan penguasa, terutama dalam usaha mengislah rakyat dengan konseptualisasi siyasah as-Syariyah mengikut manhaj Salafiyah, kerana kaum Salaf as-Soleh selain membid’ahkan perpecahan, mereka mewajibkan bekerjasama dengan pemimpin negara Islam, berjamaah dengan mereka dan menyemai rasa persaudaraan di bawah bumbung pemimpin negara berdasarkan firman Allah:
“Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara” (Al-Hujurat, 49:10)
Sabda Rasullullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:
“Tiga perkara yang menyelamatkan hati seseorang Muslim dari kedengkian: Ikhlas dalam beramal kerana Allah, menasihati penguasa dan komitmen dengan jamaah kaum Muslimin”. (Hr. Ahmad dalam Musnad 4/80-82)
Kapasitas pemikiran rakyat perlu diisi dan diyakinkan oleh pemerintah dengan kerjasama ulama dengan pengisian siyasah (politik) yang sejajar dengan kehendak agama, agar generasi yang bakal pewaris pemerintahan dapat disalurkan ke destinasi dan dimensi pemahaman siyasah as-syariyah menurut al-Quran dan as-Sunnah yang autentik. Kerana keberkesanan dan keagungan siyasah Islamiyah yang telah ditunaikan oleh para Salaf as-Soleh terutama pada zaman generasi awal, kedua dan ketiga selepas kewafatan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam menjadi bukti untuk meyakinkan rakyat.
Siyasah Islamiyah dengan kerjasama umara (penguasa/pemerintah) dan hukama (para ulama) dapat menyatukan hati rakyat untuk mentaati pemimpin kerana itu adalah perintah Allah kepada orang-orang beriman sebagaimana dijelaskan melalui firmanNya:
“Taatilah Allah, taatilah Rasul dan pemimpin (pemerintah) antara kamu”. An-Nisaa, 4:59.
Berkata Abdus Salam bin Bajras bin Hashir Ali Abdul Karim:
“Antara perintah Allah dalam ayat ini ialah mengenai hal kewajipan kita taat kepada penguasa, dan Allah Subhanahu wa-Ta’ala mensetarakan ketaatan kepada pemimpin dengan ketaatan kepada Allah Subhanahu wa-Ta’ala. Ini semuanya menunjukkan betapa penting posisi pemimpin dan amat agung keadaannya”. (Mu’amalatul Hukkam Fi Dhauil Kitab was-Sunnah. Hlm.50)
Al-‘Izz bin Abdussalam rahimahullah juga menegaskan:
“Sepakat kaum Muslimin bahawa taat kepada kekuasaan pemimpin termasuk ketaatan kepada Allah”. (Qawa’idul Ahkam fi Masalihul Anam. 1/104)
Sehingga mentaati pemerintah dalam urusan puasa di bulan Ramadan dan berhari raya adalah wajib mengikut kesepakatan para Salaf as-Soleh. Imam Ahmad rahimahullah berkata:
“Berkorban (berhari raya korban/hari raya haji), berbuka (berpuasa dan berhari raya Idil Fitri) terserah kepada pemimpin. Jika pemimpin berbuka, maka rakyat wajib berbuka. Jika pemimpin berkorban, maka rakyat wajib mengikutinya. Dalam hal solat juga wajib mengikut pemimpin”. (as-Sunnah, hlm. 4. Hadis Riwayat Abu Bakar al-Khallal)
Ibn Taimiyah rahimahullah berkata:
“Sikap (taat kepada pemimpin) termasuk kewajiban terhadap agama yang agung”. (Majmu’ al-Fatawa 28/390)
Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:
“Dengarlah dan taatilah penguasa diwaktu susah dan senang, diwaktu lapang dan sempit, walaupun mereka mementingkan diri sendiri dan memakan hartamu serta memukul punggungmu, kecuali apabila memerintahkan untuk berbuat maksiat”. (Hadis Riwayat Ibn Hibban dalam Sahihnya. 10/426. Sanadnya hasan)
Dan dalam sebuah hadis riwayat Abu Daud, dari jalan Nashr bin Ashim, dari Subi’ bin Khalid, dari Huzaifah al-Yaman radiallahu ‘anhu:
“Setelah Allah mempunyai khalifah di muka bumi dan dia memukul punggungmu serta mengambil harta bendamu, maka kamu (diperintah agar ) tetap taat”.
MENASIHATI PARA PEMIMPIN DAN PEMERINTAH
Telah sepakat para ulama Salaf as-Soleh bahawa menasihati kesilapan penguasa dan pemimpin adalah perintah dari Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam. Namun tidak dilakukan di khalayak umum atau di depan publik, tetapi dilakukan secara peribadi. Menegur pemimpin di hadapan ramai adalah sikap tidak sopan yang menyalahi sunnah, malah merupakan kejahatan hawa nafsu kerana Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:
“Barangsiapa yang ingin menasihati pemimpin dalam suatu perkara, maka janganlah disebarkan (dicanang) secara terang-terangan, akan tetapi peganglah tangannya dan ajaklah dia berbincang dengan diam-diam. Jika dia menerima, maka itu diharapkan, jika tidak maka sesungguhnya dia telah menunaikan kewajipannya” . (Majma 5/229. Hadis Riwayat Imam Ahmad. Lihat: As-Sunnah 2/522 dari jalur Muhammad bin Ismail bin Abbas)
Ibnu Nahhas rahimahullah berkata:
“Saat yang amat tepat untuk menasihati pemimpin adalah disaat sepi dari pihak ketiga. Ini lebih baik daripada bersuara secara terbuka di hadapan media massa, bahkan menyuarakan dan menasihati pemimpin lebih mulia secara rahsia tanpa ada liputan pihak yang ketiga.” (Tanbihul Ghafilin ‘An A’ma lul -Jahilin wa-Tahzirus Salikin Min Af’alil Halikin)
Syara tidak pernah menghalalkan sesiapapun dari kalangan umat Islam untuk mengumpat, membongkar keburukkan, mencari cacat-cela, sengaja menghina, mengkafirkan dan mereka-reka fitnah terhadap pemerintah, lebih-lebih lagi jika bertujuan untuk menjatuhkannya. Terdapat banyak hadis-hadis sahih yang mewajibkan umat Islam mematuhi dan mentaati pemerintah Islam demi menjaga dan memelihara kesatuan umat, keutuhan agama dan martabat Islam:
“Telah bersabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa-sallam: Sesungguhnya Allah rela atas kamu dalam tiga perkara: Hendaklah kamu menyembah Allah dan tidak menyekutukanNya dengan sesuatu, hendaklah kamu sekalian berpegang teguh dengan tali (agama) Allah dan janganlah berpecah-belah, dan hendaklah kamu sekalian saling menasihati dengan orang yang diangkat Allah untuk memegang urusanmu (pemimpin kamu)”. (Musnad Imam Ahmad, 2/376)
Maksud “Pemimpin kamu” ialah “Para pemimpin yang beragama Islam”. Dalam hal ini al-Allamah As-Syeikh Abdul Aziz bin Baz berkata:
“Bukanlah termasuk uslub (metode) salaf perbuatan membongkar aib pemimpin dan menyebutkannya di atas mimbar (atau pentas), kerana hal ini hanya menimbulkan kerusuhan dan hilangnya ketaatan rakyat terhadap pemimpin, juga menyebabkan banyak persepsi dan pandangan yang merbahaya yang tidak mendatangkan manfaat”.
Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa-sallam telah bersabda:
“Sesiapa yang ingin menasihati pemimpin, maka janganlah melakukannya dengan terang-terang (di khalayak ramai di hadapan umum) dan hendaklah dia mengambil tangannya (bersemuka empat mata sahaja). Jika pemimpin mahu mendengar maka itulah yang diinginkan dan jika tidak mahu maka dia telah menunaikan kewajipannya” . (Hadis Riwayat Bukhari)
“Apabila kemungkaran itu dilakukan oleh seorang pemimpin atau selainnya, hendaklah dia dinasihati dengan lemah lembut dan secara rahsia sehingga tidak diketahui oleh seorangpun, dengan harapan dia mahu menerimanya. Jika dia enggan, maka mintalah bantuan seorang untuk menasihatinya dengan bersembunyi- sembunyi agar dia menerima nasihatnya. Jika sekiranya dia menolak juga, maka kita boleh secara terang-terangan mengingkari sifat pemimpin seperti itu”. (Nasihatun Muhimmatun fi Salasi Qadaya. 49)
Imam Asy-Syaukani rahimahullah berkata:
“Orang yang menyadari sebahagian permasalahan tentang kesalahan pemimpin, hendaklah menasihatinya, jangan menyebarkannya di hadapan orang ramai (publik). Namun hendaklah dia berbincang secara empat mata dalam menasihatinya, tidak merendahkan atau menjatuhkan maruah dan martabatnya, pent.) serta tidak melekehkannya sebagaimana terdapat dalam hadis”. (Sail al-Jarrar 4/556.)
Ini bermakna, sesiapa yang berpakat untuk menjatuhkan pemerintah atau pemimpin Islam adalah menyalahi pegangan para Salaf as-Soleh. Begitu juga, mereka yang suka melontarkan kata-kata kotor, membuat tuduhan palsu, memfitnah dan mengkafirkan para pemimpin Islam adalah bertentangan dengan prinsip akidah Ahli Sunnah wal-Jamaah yang bermanhaj Salaf as-Soleh. Maka kepada mereka yang terlibat dengan pekerjaan mungkar ini, hendaklah bertaubat dan merubah niat kepada nasihat, kerana telah berkata Abu Usman az-Zahid:
“Nasihatilah para penguasa, perbanyakanlah doa untuk mereka agar mereka melakukan kebaikan dan kebenaran dalam beramal dan menjalankan hukum. Sesungguhnya jika mereka baik, maka akan baiklah rakyat. Hati-hatilah kamu! Jangan sampai kamu mendoakan keburukan atau melaknat mereka, kerana yang demikian hanya akan menambah kerosakan keadaan orang-orang Islam. Tetapi mintakanlah ampunan kepada Allah untuk penguasa (pemerintah dan pemimpin), semoga mereka meninggalkan perbuatan yang tidak baik, kemudian dihilangkanlah musibah dari kaum Muslimin”. (Al-Jamii Li Syu’abil Iman. 13/99. Al-Baihaqi. Cetakan Dar as-Salafiyah)
Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:
“Sesungguhnya manusia itu apabila mereka melihat kezaliman dan mereka tidak mencegah dengan tangannya, maka dibimbangkan Allah akan menyiksa mereka keseluruhannya” .
Berkata Ibn Abil ‘Izzii rahimahullah:
“Sesungguhnya al-Quran dan as-Sunnah telah menunjukkan atas kewajipan menasihati pemerintah dan seterusnya taat kepada pemerintah selama dia tidak memerintahkan agar melakukan kemaksiatan” .
Firman Allah Azza wa-Jalla:
“Taatilah Allah, taatilah Rasul dan pemerintah di antara kamu”. An-Nisa, 4:59.
Semua nas di atas menyeru umat Islam menasihati pemerintah atau pemimpin. Tidak dibenarkan menentang mereka, tetapi diperintah agar mendoakan mereka. Ibnu Nahhas berkata:
“Dalam masalah menegur penguasa (pemimpin), pendapat yang benar ialah melakukannya secara individu, bukan di hadapan publik. Bahkan amat baik jika tegurannya secara rahsia atau menasihatinya dengan cara sembunyi-sembunyi, tanpa ada pihak yang ketiga”. (Tanbih al-Gafilin an-A’malil Jahilin wa-Ta’zirus Salikin Min Af’alil Halikin. Hlm. 64)
Haram menubuhkan pemerintahan dalam sebuah negara Islam yang telah ada pemerintah dan ketua negara yang sah. Malah sesiapa yang menentang pemerintah yang sah yang telah dipilih oleh rakyat, kemudian memimpin rakyat untuk memprotes secara yang tidak sihat dan memfitnah penguasa (kerajaan) tanpa ada bukti, maka mereka dikategorikan sebagai Khawarij oleh para ulama Salaf, kerana perbuatan mereka bertentangan dengan nas-nas al-Quran, as-Sunnah, athar dan fatwa-fatwa para ulama muktabar yang mengharamkan perbuatan sedemikian.
Telah berkata Muhammad bin al-Hussin al-Ajuri rahimahumullah (sebagai peringatan kepada golongan Khawarij):
“Khawarij adalah golongan yang menentang kepimpinan orang Islam sebagaimana yang terjadi terhadap kepimpinan Ali radiallahu ‘anhu. Cara mereka menentang dengan melaung-laungkan slogan bermaksud: “Tidak ada hukum kecuali dari Allah” (Slogan ini samalah dengan apa yang dilaungkan oleh partai-partai pembangkang di beberapa negara Islam. Mereka mengkafirkan siapa saja yang tidak bersama partai mereka, tidak berjuang bersama mereka dan tidak berhukum dengan hukum Allah.)
Berkata Ali radiallahu ‘anhu untuk menentang dan membatalkan di’ayah yang dilaungkan oleh Khawarij maka beliau berkata:
“Kalimah yang hak tetapi yang mereka inginkan dari laungannya ialah kebatilan (kehancuran pemerintah)” .21
Pemahaman Khawarij telah digerakkan oleh golongan fanatisime dengan nama dan istilah “Pejuang Tauhid Hakimiyah” iaitu mentauhidkan hukum, atau mengkafirkan secara mutlak sesiapa yang tidak berhukum dengan hukum Allah. Golongan ini telah bergerak di negara-negara Islam termasuk di Indonesia.
Mereka menghidupkan fahaman “Tauhid Hakimiyah” di setiap tempat yang dapat menerima Pemahaman ini. Kebiasaannya berselindung di sebalik parti politik. Ruang untuk mereka bergerak terbuka luas kerana kebanyakan negara-negara Islam yang mengamalkan dasar politik demokrasi mengizinkan sesiapapun dari rakyatnya menubuhkan parti politik yang baru.
Mungkin amat menakutkan apabila kita mengetahui bahawa Khawarij disebut dan digelar sebagai anjing neraka oleh Nabi Muhhammad Sallallahu ‘Alaihi Wa-sallam. Disuatu kejadian, diriwayatkan oleh Sa’id bin Jamhan, beliau berkata:
“Aku mendatangi Abdullah bin Aufa (seorang buta), lalu aku memberi salam kepadanya. Beliau bertanya, siapa kamu? Aku menjawab: Sa’id bin Jamhan. Beliau bertanya. Apa yang dilakukan oleh orang tuamu? Aku menjawab: Dibunuh oleh kaum Azariqah. Beliau berkata: Semoga Allah melaknat orang-orang Azariqah kerana Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa-sallam bersabda:
“Sesungguhnya mereka adalah anjing-anjing neraka”.
Aku bertanya, apakah itu khusus pada orang-orang Azariqah atau untuk orang-orang Khawarij seluruhnya? Beliau menjawab: Orang-orang Khawarij seluruhnya. (Hr. Imam Ahmad 4/382. Dan Ibnu Abu Asim 905, dari jalan al-Hasyraj bin Nabatah. Di Hasankan Syekh Nasruddin al-Albani)
Imam Ahmad rahimahullah menguatkan lagi riwayat hadis di atas, iaitu agar tidak mencela penguasa dan tidak meniru sifat-sifat Khawarij:
“Aku (Ibnu Jamhan) berkata: Sultan berlaku zalim kepada manusia dan menindas mereka. Dia berkata: Lalu dia (Abdullah bin Aufa) memeluk tanganku dan menariknya dengan kuat, kemudian berkata: Celaka kamu wahai Ibnu Jamhan! Kamu wajib mengikuti sawadul a’zam (beliau mengulangi dua kali), jika Sultan mahu mendengar darimu maka datanglah ke rumahnya dan beritahu yang kamu ketahui (menasihatinya) , jika dia menerimanya maka itu baik, tetapi jika ia tidak menerimanya maka tinggalkanlah. Kamu tidak lebih tahu darinya”. (H/R Imam Ahmad 4/382. Dan Ibnu Abu Asim 905, dari jalan al-Hasyraj bin Nabatah. Menurut Syekh Nasruddin al-Albani sanadnya Hasan)
HARAM MEMBANGKANG
Islam mewajibkan umatnya bersatu dalam satu pemerintahan dan mengharamkan perpecahan. Tidak dihalalkan membangkang pemimpin sebuah negara yang dipimpin oleh orang Islam sebagaimana yang dilakukan oleh hizib Khawarij dan Mu’tazilah. Ibnul Abil Izz radiallahu anhu berkata:
“Diwajibkan taat kepada pemerintah walau mereka zalim dan melampaui batas, kerana sikap membangkang menimbulkan kerosakan yang berganda jika dibandingkan kezaliman pemerintah itu sendiri, bahkan di dalam kesabaran ada ganjaran yang boleh menghapuskan dosa serta menggandakan pahala”. (Muamalatul Hukkam fi-Dhauil Kitab wa-Sunnah. Hlm.155)
Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:
“Sesiapa yang datang kepada kamu sedangkan kamu bersatu di tangan seorang pemimpin, dan orang yang datang tersebut ingin menggugurkan ketaatan kamu dan ingin memecah-belahkan kamu, maka bunuhlah dia”. (Hr. Muslim)
Masyarakat Islam yang hidup dalam sebuah negara Islam, tidak ada dua pemimpin. Jesteru itu, tidak ada parti pembangkang, yang ada hanyalah orang-orang yang mulia iaitu para ulama yang sudi menasihati penguasa atau pemimpin. Contohnya, dizaman para khalifah Islam, tidak tercatit dalam sirah atau sejarah Islam adanya pembangkang, tetapi yang wujud diketika itu ialah golongan Khawarij yang suka melakukan huru-hara dan kerosakan dalam menentang pemerintah Islam.
Dizaman sekarang, dalam kontek sistem demokrasi, tentulah yang layak jadi parti pembangkang hanyalah dari kalangan orang-orang kafir, bukan orang-orang Islam, kerana orang Islam diharamkan melawan penguasa atau pemimpin Islam yang dipilih secara sah.
Orang beriman, berilmu dan bertakwa tidak mudah dipengaruhi oleh diayah yang bertentangan dengan al-Quran dan Sunnah walaupun dari mulut seorang yang mengaku sebagai ulama. Kerana ditakuti datangnya dari firqah Khawarij yang menyebabkan berlakunya bid’ah. Syara mengharamkan orang beriman dari menyerupai sikap dan akidah golongan Khawarij.
Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam telah menjelaskan sifat-sifat Khawarij, antara sifat-sifat dan sikap mereka: Ibadah dan solatnya kelihatan lebih hebat dari ibadah para sahabat. Namun mereka terkeluar dari millah Islamiyah kerana menghukum kafir, menghukum sesat, menghukum fasik, serta mengutuk para pemimpin Islam.
Khawarij menghalalkan darah dan harta kaum muslimin yang berada di luar kelompok mereka. Bagi mencapai objektif yang dirancang, mereka bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang boleh menguntungkan golongannya. Seperti Syi’ah, Mu’tazilah dan kelompok-kelompok bid’ah yang lain. Sering menakut-nakutkan kaum muslimin akan masuk neraka jika menolak seruan, pemahaman, kehendak, bekerjasama dan masuk partai/kelompok mereka. Khawarij pandai berpidato, lancar membaca ayat-ayat al-Quran, fasih membawakan hadist dan mudah memberi fatwa, tetapi menyelewengkan makna nas-nas al-Quran dan hadist. Tujuannya untuk mempengaruhi orang-orang jahil, memenuhi kepentingan golongan atau hawa nafsu mereka. Rasulullah telah mengkhabarkan hal ini:
“Mereka membaca al-Quran, tetapi tidak melebihi kerongkong mereka (tidak sampai ke hati mereka)”. (HR Bukhari. (3611). Muslim. (1066))
Rasulullah telah menjelaskan tanda-tanda Khawarij:
“Mereka suka membunuh (menghancurkan) Ahli Islam (terutama pemimpin yang tidak berhukum dengan hukum Allah dan pengikutnya. Pent.) tetapi mereka membiarkan ahli berhala (orang-orang yang benar-benar jelas kekafirannya) “. (Hr. Bukhari. (3644). Muslim (1064))
“Mereka keluar dari agama sebagaimana keluarnya anak panah dari sasarannya”. (Hr. Ahmad (111/73). Bukhari (7432). Muslim (1064))
Menurut hadis, golongan Khawarij akan sentiasa muncul dan akan terus muncul dengan ramainya terutama diakhir zaman. Sikap dan kejahatan mereka hanya diperasani oleh orang-orang yang berilmu, kerana Khawarij sentiasa berselindung disebalik ibadah dan kata-kata indah yang menakjubkan. Kenyataan ini telah dijelaskan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam dengan sebdanya:
“Akan muncul diakhir zaman satu kaum yang muda belia umurnya tetapi singkat akalnya. Mereka meniru ucapan sebaik-baik manusia (Nabi Muhammad), namun imannya tidak melewati kerongkongannya, di mana sahaja kamu menemui mereka maka bunuhlah mereka, kerana sesungguhnya ada pahalanya di Hari Kiamat bagi orang yang membunuh mereka”. (Hr. Bukhari (6930). Muslim (1066))
Menurut Syeikhul Islam Ibn Taimiyah rahimahullah dalam menjelaskan tanda-tanda Khawarij:
“Tanda paling besar kesesatan Khawarij ialah keyakinan mereka berkenaan pemimpin yang dapat petunjuk (pemimpin yang beragama Islam tetapi dihukum kafir oleh mereka kerana tidak berhukum dengan hukum Allah. Pent.) dan keyakinan mereka terhadap kaum muslimin yang semuanya mereka hukum sesat (kerana tidak di dalam kelompok mereka. Pent.) ….. Mereka juga mengkategorikan apa yang mereka anggap kezaliman ke dalam kategori kafir”. (Majmu Fatawa. 28/497)
Setiap muslim pasti mampu mengenali kriteria Khawarij. Kerana antara ciri-ciri mereka sudah dijelaskan oleh hadis-hadis sahih dan para ulama Salaf as-Soleh, seperti kuat beribadah, banyak membaca al-Quran, kelihatan wara’ dan mudah menggelar diri mereka sebagai tokoh dan ulama.
Khawarij pandai memerangkap (menipu dan memperdaya) masyarakat melalui ceramah politik yang dihiasi nas-nas al-Quran dan as-Sunnah. Bijak mempersonakan masyarakat dengan kekarismaan berpidato, gemar menyelewengkan tafsiran ayat-ayat al-Quran atau as-Sunnah sehingga pemikiran dan akidah masyarakat yang jahil, fanatik, taklid buta.
Semoga Allah Subhanahu wa-Ta’ala sentiasa menyelamatkan kemurnian akidah orang-orang yang beriman dan para pemimpin, dijauhkan dari penipuan dan putar-belit golongan Khawarij yang memperkenalkan diri mereka sebagai ulama, dan mudah-mudahan hidup kaum muslimin dan para pemimpinnya sentiasa diberkati dan dirahmati oleh Allah Subhanahu wa-Ta’ala. Amin ya Rabbal ‘Aalamin!
Wallahu A’lam

Via:  http://sholehpadangan.wordpress.com/2009/12/27/kriteria-negara-islam-menurut-ahlussunnah-wal-jamaah/

Tidak ada komentar:

Posting Komentar